MELAKA: Perogol bersiri yang juga bekas peniaga putu piring di sebuah pasar raya di Bachang, dekat sini, Rashidi Omar, 29, dijatuhi hukuman penjara 120 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini semalam, selepas menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap 15 pertuduhan termasuk dua kes cubaan rogol, rogol (enam kes) dan samun bersenjata (lima kes) bagi tempoh antara 24 Mei 2007 hingga 21 November 2009.
Bagaimanapun, tertuduh bernasib baik apabila Hakim Zaharah Hussain, menetapkan hukuman bagi lima daripada 15 pertuduhan dihadapinya berjalan serentak sekali gus dia hanya perlu menjalani 50 tahun penjara dan 24 sebatan.
Zaharah menjatuhkan hukuman itu selepas meneliti keseluruhan fakta kes dan rayuan tertuduh serta hujahan pendakwa raya.
Dalam penghakimannya itu, beliau turut memberi peringatan kepada tertuduh supaya insaf dan bertaubat atas kesalahan dilakukannya dan tidak mengulangi pada masa depan.
“Saya harap kamu benar-benar insaf dan bertaubat. Kamu lebih tahu apa yang kamu lakukan,” katanya ketika menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh kira-kira jam 4.45 petang semalam.
Bagi kesalahan rogol, Rashidi yang berasal dari Batu 13, Beringin, Durian Tunggal, Alor Gajah, dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman 20 tahun penjara dan sebatan.
Bagi kesalahan merompak menggunakan senjata ke atas mangsanya, dia didakwa mengikut Seksyen 372/379 KK.
Manakala, bagi kesalahan melakukan persetubuhan luar tabii dengan memaksa mangsa melakukan seks oral dan cubaan merogol dia didakwa mengikut Seksyen 377C KK dan 376 KK dibaca bersama Seksyen 511 akta sama.
Hakim menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun penjara dan 12 sebatan bagi kesalahan kes pertamanya iaitu merogol murid tahun satu di Ladang Kelapa Sawit Hailam Estate, Cheng pada 24 Mei 2007, kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Bagi kes kedua, dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana cuba merogol seorang pelajar tingkatan satu di Ladang Kelapa Sawit Beh Kim, Lendu, Alor Gajah pada jam 6.30 pagi pada 20 Oktober 2009.
Seterusnya bagi kes ketiga, merogol dan merompak seorang wanita di sebuah pusat kecantikan di Batang Tiga pada jam 3 petang, 21 November lalu, dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan.
Bagi kes keempat, dia dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan serta lima tahun bagi kesalahan merogol seorang mak andam berusia 24 tahun di sebuah kedai di Jasin pada jam 5.40 petang pada 21 Oktober 2009.
Hakim menetapkan hukuman bagi keempat-empat kes itu berjalan berasingan setiap satu dan juga berasingan dengan hukuman bagi lima lagi kes lain.
Sementara itu, dalam rayuannya tertuduh yang ditangkap pada 1 Disember 2009 berjanji tidak mengulangi semua kesalahan dan memohon hukuman ringan.
Katanya, dia menyesal dan memohon maaf kepada semua pihak serta berjanji akan berubah ketika menjalani hukuman di dalam penjara kelak.
nota: adoi senang-senang dia aje nak mintak maaf. kalau boleh hukum gantung aje orang yang macam tu. disebabkan dia ramai perempuan tak bersalah menjadi mangsa dan telah gelap masa depan diorang. dibuatnya mangsa-mangsa tu ada yang mengandung macam mana?? mintak-mintak dia bertaubat lah dan berkelakuan baik ketika di penjara..
0 insan terpilih:
Post a Comment