KUALA TERENGGANU 3 Jun - Tunjuk kad jemputan kahwin untuk lebih mudah beli gula!
Mungkin bunyinya agak pelik. Namun itulah nasihat Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri bagi memudahkan mereka yang ingin mengadakan kenduri kahwin tetapi sukar untuk mendapatkan bekalan gula.
Timbalan Pengarahnya, Ab. Ghani Harun berkata, pihak yang ingin mengadakan kenduri tersebut perlu membawa kad jemputan perkahwinan sekurang-kurangnya dua atau tiga hari sebelum majlis diadakan.
Katanya, tindakan tersebut dilakukan bagi memudahkan pihak PPDNKK mengagih-agihkan bekalan gula selain dapat memenuhi keperluan mereka yang bakal mengadakan majlis kenduri perkahwinan pada musim cuti ini.
"Kita menjangkakan banyak majlis perkahwinan yang akan diadakan pada musim cuti sekolah ini. Oleh itu kita sedia bertolak ansur untuk mengagihkan bekalan kepada mereka yang lebih memerlukan.
"Tetapi apa yang penting ialah mereka perlu membawa kad jemputan kahwin berkenaan ketika ke pejabat PPDNKK sebagai bukti," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ab. Ghani turut mengingatkan para peniaga agar mengemukakan lesen perniagaan masing-masing sebelum boleh mendapatkan bekalan gula berkenaan.
Jelasnya, ia perlu bagi mengelakkan segelintir individu yang mengambil kesempatan ketika kekurangan bahan itu terutamanya pada musim cuti yang akan tiba tidak lama lagi.
"Kita yakin dengan bekalan gula sebanyak 2,400 metrik tan sebulan yang kita ada itu akan mencukupi untuk kegunaan seluruh pengguna di negeri ini.
"Jadi orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan gula masih mencukupi namun perlu diingatkan sekiranya mereka sukar mendapatkan gula ataupun ada peniaga yang enggan menjual gula dengan pelbagai alasan, sila laporkan perkara itu kepada PPDNKK dengan segera," tegasnya.
* ihsan dari utusan malaysia
1 insan terpilih:
sampei gitu shekali ya penangan krisis gula...waduh2
Post a Comment